rw

rw

Saturday, April 28, 2007

Zero konflik: erti dari 'nanti apa orang lain kata'

Frasa 'nanti apa orang lain kata' adalah terhasil dari pemikiran dan hati orang Melayu yang 'terlalu memikirkan orang lain atau pihak lain' dan perasaan pihak lain.

Sebelum dia membuat sesuatu keputusan untuk bertindak samada dari percakapan atau tindakan-tindakan lainnya, dia akan memikirkan apa akan dibuat oleh pihak lain itu hasil dari tindakan perbuatan dan percakapannya.

Dia memikirkan orang lain dahulu sebelum melakukan sesuatu tindakan. Dia megambil berat orang lain dahulu sebelum berbuat sesuatu. Dia tidak mahu orang lain dan pihak lain terjejas kerana tindakannya.

Perbuatan memikirkan orang lain dahulu itu adalah perbuatan yang baik untuk mengelakkan sebarang konflik dan perselisihan faham.

Konflik, perselisihan, percanggahan atau perkelahian terhasil bila tidak wujudnya persefahaman antara satu pihak dengan pihak yang lain. Ketidaksefahaman itu berlaku bila satu-satu keputusan yang diputuskan oleh satu pihak telah menjadikan dipihak yang lain berasa tidak senang atau marah.

Bila ini berlaku, maka ia dikatakan konflik dan perselisihan. Konflik adalah merugikan. Konflik menjadikan sesuatu kerja perlahan, tergendala dan terhenti.

Konflik menjejaskan produktiviti. Konflik menyebabkan kos meningkat. Maka konflik adalah masalah dan perlu dihindarkan.

Sehingga terlalu banyak teori-teori yang di dikemukakan supaya konflik boleh dihindarkan.

Rupa-rupanya, konflik yang menjadi beban dalam organisasi atau masyarakat, yang meningkatkan kos itu telah lebih awal di jauhkan dan dihindarkan oleh orang Melayu.

Rupanya orang Melayu tidak memerlukan teori baru untuk menghindarkan konflik. Orang Melayu telah dari awal mempunyai kaedah yang tersendiri dalam menangani konflik. Telah tertanam dalam diri orang Melayu kaedah-kaedah penghindaran konflik. Orang Melayu telah mempunyai infrastruktur untuk melaksanakan cara-cara penjauhan dan pembenterasan konflik, jauh lebih tinggi dan hebat kaedahnya berbanding dengan teori pengurusan penghindaran konflik dalam kaedah pengurusan orang-orang Barat.

Tetapi kene diingat, melaksanakan sesuatu kaedah memerlukan tatacara atau prosedur. Prosedur dalam melaksanakan penghindaran dari berlakunya konflik bagi masyarakat Melayu itu melibatkan faktor masa.

Yang di maksudkan faktor masa ialah, keputusan yang perlu dibuat oleh orang Melayu dalam sesuatu hal memerlukan sedikit masa.

Ini bermakna, orang Melayu akan mengambil masa untuk melaksanakan proses 'memikirkan' dan 'merasa' bagi memenuhi frasa 'nanti apa orang lain kata' sebagai prasyarat menghindarkan konflik.

Jika sesuatu keputusan itu perlu diputuskan, proses untuk memutuskan keputusan itu perlu di proses melalui kerangka 'nanti apa orang lain kata', sebelum keputusan di buat. Ini supaya keputusan yang dibuat itu tidak menyakitkan perasaan orang lain.

Jika keputusan itu memerlukan menjawab soalan, maka menjawab soalan itu perlu melalui kerangka 'nanti apa orang lain kata', sebelum menjawab soalan itu diberikan.

Jika keputusan itu memerlukan tindakan bertulis, maka tindakan bertulis itu perlu melalui kerangka 'nanti apa orang lain kata', sebelum keputusan bertulis itu di keluarkan.

Tetapi faktor mengambil masa itu telah dikritik oleh orang Melayu sangat menjadi pengkagum orang Barat sebagai tindakan yang perlahan/slow, lembab dan lemah. Tidak seperti keputusan yang dibuat oleh orang Barat yang segera dan cepat.

Maka dijaja disana sini kononnya kaedah orang Melayu itu sebagai negatif dan tidak elok. Dan kononnya tindakan yang segera dan cepat itu sangat baik dan bagus.

Tanpa mereka menyedari kaedah 'mengambil masa' itu telah tidak meningkatkan kos yang terhasil dari konflik. Kerana keputusan yang dibuat oleh orang Melayu ialah 'zero konflik'.

Saturday, April 21, 2007

Nanti apa orang lain kata


(Tanam sendiri di tepi pagar dengan rumah Tony,di sisi mangkuk pecah, Buckingham Drive, LE11, Spring2007)

'Nanti apa orang lain kata' rupanya perkara besar dalam hidup seharian orang Melayu. Dalam segala pergerakan hidupnya sehari harian ungkapan 'nanti apa orang lain kata' seperti menjadi kayu ukur yang membolehkan seseorang itu akan berbuat sesuatu atau tidak.


Samada ia ingin bercakap, menulis, melukis, berpakaian, membeli kereta motor kenderaan, membeli peralatan rumah, hendak menyimpan misai, janggut atau bertudung atau berskaf, tidak bersikat, berkasut kulit atau kasut sukan, naik bas atau bermotorsikal, hanya berkereta kancil atau mesti berkereta besar, semua tindakannya amat mudah difikirannya memikirkan 'nanti apa orang lain kata'.

Inilah ungkapan perkataan yang sangat besar dalam diri saya, awak, awak dan awak juga. Kalau bukan awak, tapi kawan sebelah awak itu.
Tanyalah dia, kalau tak percaya.

Ungkapan 'nanti apa orang lain kata' itu rupanya juga telah menjadikan kita tidak merdeka, kita jadi penakut, kalau tidak penakutpun jadi tidak berani, kita jadi terikat, kita tidak bebas untuk membuat sesuatu, semata-mata 'eh nanti apa orang lain kata'.

Antara kesan besarnya ialah banyak kebaikan yang boleh dibuat dan dimanfaatkan oleh orang lain tetapi tidak diberitahu, tidak tercerita semata-mata tidak berani, kerana 'eh nanti apa orang lain kata'.

Ini terhasil kerana sifat perasaan hypersensitive yang ada dalam jiwa orang Melayu yang sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Dia sangat memikirkan orang lain lebih dari dirinya. Dia memikirkan apa orang lain akan fikir, buat dan bertindak terhadap dirinya hasil dari tindakannya itu nanti.

Ciri-ciri ini juga terhasil dari sifat kekitaan, 'orientasi kekitaan (we)' yang bila bercakap dengan orang lain, baik berdua orang atau lebih, dengan mudah menggunakan ganti nama 'kita' dan tidak 'saya', 'aku', 'I'. Dan kita bukan dalam kelompok masyarakat yang ber'orientasi aku (I)', 'saya'.

Terlalu mudah dalam perbualan dan pertuturan menggunkan perkataan 'kita', dengan anggapan orang lain itu adalah sebahagian dari dirinya.

Memang tidak salah untuk menggunakan ganti nama 'kita', sebab orang kita memang telah menerima ungkapan 'kita' adalah juga dirinya.

Hal 'saya'/'aku' atau 'kita' adalah hal yang lain, tetapi yang besar terhasil dari situ ialah 'nanti apa orang lain kata'.

Jika saya, awak, awak dan dia hendak berubah dan jadi berani, lupakanlah cerita 'nanti apa orang lain kata'

Cuba, kita cuba.

Monday, April 16, 2007

Bicara buat aj. (telah ditulis untuk ruangan komen abdullahjones.blogspot, 16/04/07)

aj,

memang kawan tahu awak memang reti menulisnya

awak memang reti menyampaikan detik-detik masa awak berjumpa dengan kawan awak itu,

sebab itu orang lain kata ianya menyentuh perasaan, menyentuh hati,

kalaupun awak buang ayat-ayat pertama dan ayat-ayat terakhir yang mengaborkan kawan awak dah tak ada itupun, kawan tahu ianya masih jadi tulisan yang kuat untuk menyentuh perasaan.


Aj, orang kita, bangsa kita, adalah bangsa yang perasaannya hypersensitive. Tak boleh langsung membaca tulisan, mendengar cakap, mendengar kata-kata atau lagupun yang boleh mengusik perasaan. Perasaan dia mudah terguris, hiba, merajuk, masam, suka, marah dan macam-macam lagi.

Sebab itu kawan tahu awak ramai peminat, sebab awak reti mencuit perasaan, tulisan awak boleh membawa orang yang membaca rasa sedih, hiba, marah, ketawa kalau tidakpun tersengeh.

Biarlah orang lain nak kata apa dengan apa yang kawan sebut ni, sebab satu benda lagi yang bangsa kita sibuk, atau risau sangat ialah takut 'orang lain kata apa'. Sudahnya habis semua benda duduk fikir 'apa orang lain akan kata' dan jadi tak berani nak buat dan cakap.Dan kawan juga tahu awak ada keberanian itu.

Dan kawan tahu awak dan kawan-kawan lain juga tahu kita jenis payah nak memuji orang, kalau bercakap pun tak reti nak memuji, kalau menulispun tak reti nak memuji.

Habis kuatpun kalau masa di sekolah dulu, kalau keputusan periksa dah dapat baikpun, cikgu hanya tulis, 'Baik', atau 'memuaskan' dan kalau tak berapa baik, dia tulis 'usaha lagi'. Itulah beberapa patah perkataan yang cikgu tulis.

Kawan rasa kalau di tempat awak tu, tempat orang putih, berjela-jela dia menulisnya yang 'awak sangat pandai, sangat kuat usaha, sangat luas pandangan dan boleh menampilkan bakat yang luar biasa dan boleh membantu rakan-rakan lain untuk berjaya, seorang yang kelakar dan tegas' dan macam-macam lagi yang cikgu orang putih itu tulis untuk menerangkan yang keputusan periksa awak itu baik.

Jadi kawan sekadar nak memaklumkan saja dalam keterangan yang agak panjang di tempat awak ini, kekuatan yang awak ada. Itu saja yang kawan nak sebut.

Al Fatihah dari cerita awak itu.

uipts.

Tuesday, April 3, 2007

Terus aja.

Saya rajin bercerita pada kawan2 yang baru nak belajar. Atau juga pada yang belum terfikir untuk menyambung belajar lagi sedang usia mereka baru 20 tahun.

Saya katakan pada mereka, letakkanlah angan-angan untuk terus belajar sampai ke peringat yang setinggi mana dan lupakanlah 'pegangan' dan 'sikap' orang budak-budak Melayu kita yang sering menyebut, ' saya nak cari pengalaman dulu'.

Tak payah.

Terus aja. Bila dah habis ijazah pertama, terus sambung MA atau MSc dan lepas itu cari peluang untuk buat PhD.

Atau cara lainnya. Lepas BSc, cari universiti yang membolehkan buat MPhil dan di akhir tahun satu MPhil itu bila dah buat report dan besar kemungkinan terus boleh dinaikkan taraf untuk sambung PhD di tahun ke 2 dan jika laju, boleh tamat pada tahun ke 3.

Jadi boleh dapat PhD dalam 3 tahun selepas tamat BSc.

Budak2 yang pandai dan tekun boleh menggunakan cara ini.

Cara ini mesti didedahkan kepada budak-budak kita yang kita dah lihat ada potensi untuk buat cara ini. Mereka dalam tempoh 3 tahun selepas BSc dah boleh dapat PhD.

Dengan ada PhD pada umur 25 tahun, atau paling kurang, ketika berumur kurang dari 30 tahun, dalam tempoh sepuluh tahun berikutnya, kita boleh tengok ke mana mereka ini boleh pergi.

Cubalah.

Jangan ikutlah cara mereka yang dah beranak pinak belajar.

Perit. Tak tahu berapa kali air mata berlinang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...