rw

rw

Saturday, April 21, 2007

Nanti apa orang lain kata


(Tanam sendiri di tepi pagar dengan rumah Tony,di sisi mangkuk pecah, Buckingham Drive, LE11, Spring2007)

'Nanti apa orang lain kata' rupanya perkara besar dalam hidup seharian orang Melayu. Dalam segala pergerakan hidupnya sehari harian ungkapan 'nanti apa orang lain kata' seperti menjadi kayu ukur yang membolehkan seseorang itu akan berbuat sesuatu atau tidak.


Samada ia ingin bercakap, menulis, melukis, berpakaian, membeli kereta motor kenderaan, membeli peralatan rumah, hendak menyimpan misai, janggut atau bertudung atau berskaf, tidak bersikat, berkasut kulit atau kasut sukan, naik bas atau bermotorsikal, hanya berkereta kancil atau mesti berkereta besar, semua tindakannya amat mudah difikirannya memikirkan 'nanti apa orang lain kata'.

Inilah ungkapan perkataan yang sangat besar dalam diri saya, awak, awak dan awak juga. Kalau bukan awak, tapi kawan sebelah awak itu.
Tanyalah dia, kalau tak percaya.

Ungkapan 'nanti apa orang lain kata' itu rupanya juga telah menjadikan kita tidak merdeka, kita jadi penakut, kalau tidak penakutpun jadi tidak berani, kita jadi terikat, kita tidak bebas untuk membuat sesuatu, semata-mata 'eh nanti apa orang lain kata'.

Antara kesan besarnya ialah banyak kebaikan yang boleh dibuat dan dimanfaatkan oleh orang lain tetapi tidak diberitahu, tidak tercerita semata-mata tidak berani, kerana 'eh nanti apa orang lain kata'.

Ini terhasil kerana sifat perasaan hypersensitive yang ada dalam jiwa orang Melayu yang sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Dia sangat memikirkan orang lain lebih dari dirinya. Dia memikirkan apa orang lain akan fikir, buat dan bertindak terhadap dirinya hasil dari tindakannya itu nanti.

Ciri-ciri ini juga terhasil dari sifat kekitaan, 'orientasi kekitaan (we)' yang bila bercakap dengan orang lain, baik berdua orang atau lebih, dengan mudah menggunakan ganti nama 'kita' dan tidak 'saya', 'aku', 'I'. Dan kita bukan dalam kelompok masyarakat yang ber'orientasi aku (I)', 'saya'.

Terlalu mudah dalam perbualan dan pertuturan menggunkan perkataan 'kita', dengan anggapan orang lain itu adalah sebahagian dari dirinya.

Memang tidak salah untuk menggunakan ganti nama 'kita', sebab orang kita memang telah menerima ungkapan 'kita' adalah juga dirinya.

Hal 'saya'/'aku' atau 'kita' adalah hal yang lain, tetapi yang besar terhasil dari situ ialah 'nanti apa orang lain kata'.

Jika saya, awak, awak dan dia hendak berubah dan jadi berani, lupakanlah cerita 'nanti apa orang lain kata'

Cuba, kita cuba.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...