rw

rw

Sunday, May 6, 2007

Berbezanya 'kita' dan 'mereka'

Oleh kerana kita berada dalam kelompok negara yang masyarakatnya berfahaman kolektivis, maka setiap tindakan yang kita buat akan dipastikan bersesuaian dengan ahli kelompok kita. Ini sangat berbeza dengan individu yang berada dalam masyarakat dan negara individualis. Individunya tidak akan memikirkan orang lain, sebaliknya hanya mememikirkan diri sendiri sahaja.

Malah kita dari kelompok masyarakat Melayu Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thai dan Filipina ini, seperti yang telah disebut sebelum ini sentiasa akan memikirkan apa orang lain kata.
Kita tidak akan bercakap yang menampakkan kita seperti berbangga, menunjuk pandai, menunjuk hebat, tahu segala-galanya.

Kerana kita tidak mahu orang kata kita bercakap besar, berlagak, sombong, membangga diri dan bongkak. Kalaupun kita sebenarnya sangat tahu, pandai, dan sememangnya mengetahui sesuatu perkara itu dengan baik.

Akibat dari itu, kita sering menyebut, 'saya bukan tahu sangat perkara ini' (sebenarnya dia sangat mengetahui hal tersebut), atau 'saya tidaklah pandai, cuma tahu sedikit-sedikit' (sebenarnya dia sangat pandai tentang perkara itu).

Atau jika kita hanya tahu serba sedikit sesuatu perkara, kita akan menyebut, 'saya tidak tahu buat perkara itu', atau 'saya tidak pandai hendak tulis nya' (sebenarnya dia boleh menulisnya).

Kita dari masyarakat kolektivis memandang ucapan-ucapan itu sebagai sangat tinggi nilainya, sangat beradap orang yang menuturkannya. Kerana kita sering bersandarkan peribahasa kita, ikut resam padi, makin tunduk, makin berisi, atau ibarat ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya.

Tetapi cara bercakap sebegitu, yang kita pandang tinggi nilai itu, akan dianggap oleh individu dari masyarakat individualis sebagai seorang yang tidak ada kepercayaan pada diri sendiri. Akan di ertikan sebagai semangnya tidak pandai dan tidak mengetahui.

Bagi mereka, bercakap yang tidak menunjukkan keyakinan adalah lambang kelemahan, tidak pandai, dan negetif. Mereka tidak memahami cara bercakap secara tidak terang-terangan, dan beralas-alas seperti kita. Mereka akan faham bila kita menyebut, 'tidak pandai', 'tidak tahu' sememangnya kita tidak pandai dan tidak tahu.

Jadi tanggapan mereka kepada kita sudah berbeza. Mereka melihat kita lemah, tidak reti dan tidak tahu.

Kita harus mengenali diri kita dan diri mereka. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di negara barat seperti Amerika Syarikat, atau United Kingdom atau Belanda, supaya mengenali kita dan mereka adalah berbeza.

Bagi yang sedang belajar, jangan sesekali kata 'saya tidak tahu nak buat', 'saya tak pandai nak tulis', 'minta maaflah saya buat tidak lengkaplah' kepada pensyarah orang putih (sebagaimana kita bercakap dengan orang melayu lain). Kerana mereka akan faham memang kita teruk betul. Mereka tidak reti bahasa 'beralas-alas' ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...